As salamualaikum dan Salam Sejahtera..
P/s: Penulisan autobiografi ni merupakan salah satu tugasan ecah semester 6 yang lalu..penulisan yang masih lemah dan harus dibuat penambahbaikan yang banyak lagi.Hasil penulisan ini telah ecah baca di hadapan dewan kuliah apabila diminta tampil secara sukarela untuk membacanya. Masa tu la hasil penulisan ini dikritik habis-habisan oleh pensyarah ecah iaitu Prof.Datuk Wira DR.Abdul Latiff Bin Abu Bakar. (heeee..moment betul la saat tu,setiap perenggan beliau komen.so nice.sebab tu ecah suka sangat cara P&P beliau semasa di dewan kuliah. Di bawah ni hasil penulisan ecah.kalau sudi nak baca, silakan..(^^,)
“ Alahai,Bosannya
”. Itulah patah kata yang meniti di bibirku saat ini. Hujung mingguku tidak diisi dengan satu aktiviti
pun. Memandangkan rakan-rakan serumahku pulang ke desa masing-masing, aku keseorangan
di kediamanku, Kolej Harun Aminurrashid yang indah ini. Sunyi. Hanya bunyi
kipas dan detik jam yang dapat aku kesan. Aku melihat ke dinding siling
bilikku, kosong sekosong hati yang aku rasakan . Lalu aku bingkas dari katil dan
menguak jendela berhampiran dengan katilku itu. Cuaca agak redup pada petang
ini. Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menjamah pipiku, menggamit aku pada
sesuatu yang jauh. Kelihatan burung-burung bebas berterbangan di langit biru. Aku
mendongakkan kepala, menghirup udara petang yang segar di samping memerhati alam
fatamorgana indah ciptaan Tuhan. Aku bersyukur kepada Ilahi kerana masih diberi
peluang untuk menghirup udara petang seperti sekarang. Fikiranku mula melayang teringatkan
kampung halaman nun jauh di sana. “Alangkah
seronok, seandainya tika ini aku berada di kampung, dapat menghirup udara yang
lebih segar...Hurmm...rindunya pada Abah, Maa, dan adik-adik...Namun rinduku
lebih kuat menggamit diri pada Atuk dan Nenek. Bagaimanalah keadaan mereka
sekarang ni, sedang apa, dan di mana?”. Getus hatiku perlahan.
Mengenangkan
keluarga di kampung, aku teringat pula satu kisah yang diceritakan oleh
nenekku. Kisahnya mengenai suatu malam yang bening dan suram tiba-tiba menjadi
kelam kabut, resah dan gelisah. Dalam keadaan tergopah-gapah, dua orang wanita
berseragam putih keluar masuk dari sebuah bilik yang suram kecerahan lampunya,
mendebarkan dua orang insan yang duduk di bangku berdekatan bilik tersebut. Dua
insan itu merupakan seorang lelaki lingkungan awal 20-an dan seorang wanita
warga emas. Jeritan suara menahan kesakitan kedengaran di saat seorang lelaki
berjubah putih masuk ke bilik itu. Salah seorang wanita berseragam putih itu tadi keluar daripada
bilik tersebut dan memanggil dua insan yang duduk di bangku berdekatan bilik
tadi supaya masuk ke bilik yang suram itu. Lelaki 20-an tersebut diminta oleh
wanita berseragam putih itu untuk menenangkan seorang wanita yang sedang terbaring
di atas katil yang sedang mengerang kesakitan. “Aaahhhh, sakit bang, sakit!!!” Wanita
itu merupakan isterinya yang tercinta. Jeritan menahan sakit seorang isteri
bertarung nyawa untuk melahirkan zuriat yang dikandung genap 9 bulan sangat
mencemaskan hati dua insan yang turut berada di
dalam bilik kecemasan di Hospital
Daerah Tanah Merah.
Tepat
jam 1.20 pagi, tanggal 13 Disember 1989,
lahirlah seorang bayi perempuan yang sempurna sifatnya seberat 2.4 kilogram. Syukur
alhamdulillah!!! Terukir senyuman di bibir kedua pasangan suami isteri melihat
bayi tersebut dalam keadaan sihat walafiat. Syukur dipanjatkan oleh si suami ke hadrat Ilahi atas kurniaan
rezeki yang sangat bernilai. Si ayah
baru itu mengiqomatkan bayi sejurus dihulurkan oleh seorang wanita yang berseragam putih yang
merupakan jururawat terlatih di hospital itu. Hening seketika tatkala alunan
iqomat disua ke telinga bayi tersebut. Si ibu menitiskan air mata tanda kebahagiaan
yang melingkari hidupnya kini. “Maa, Abah namakan anak kita ini Nor Aisah, ye
maa?” Tanya si suami kepada si isteri. Si isteri hanya tersenyum melihat suaminya
dan menganggukkan kepala tanda setuju. Si nenek tersenyum melihat gelagat si anak dan menantunya dengan rasa penuh kebahagiaan. Perasaan
bahagia dengan kelahiran cucu baru hasil
perkahwinan anak lelakinya dengan wanita pilihannya sendiri. Nor Aisah Binti
Shaimi, itulah nama yang diberikan oleh si Ayah untuk anaknya dan si anak itu
adalah aku. Begitulah cerita nenek kepadaku kisah di awal kelahiranku, 23 tahun
yang lalu. Kisah itu masih kuat melekat dalam ingatanku sehingga kini.
Aku
dilahirkan setahun selepas perkahwinan antara
Maa dan Abahku. Aku merupakan anak sulung daripada 7 orang adik-beradik.
Jarak kelahiranku dengan adikku yang kedua lebih kurang 4 tahun. Hal ini menyebabkan aku
sedikit manja berbanding adikku, Angah. Kemanjaanku terbawa-bawa sehingga aku
meningkat dewasa. Kemanjaanku bukannya terlalu mengada-gada dengan sembarangan
orang tetapi aku sangat manja dengan nenek dan atuk kedua-dua belah keluarga
maa dan abahku, Mak su, Mak Uda dan yang terlalu melayan kerenah manjaku ini
adalah abahku sendiri. Al-maklumlah, aku anak sulung. Lebih-lebih lagi anak
perempuan. Segala keperluan anak perempuan abah sediakan. Menurut nenek dan makcik-makcikku,
sememangnya abahku terlalu memanjakan anak sulungnya ini. Segala kemahuan
dituruti. Kemana sahaja dia pergi, aku
akan dibawa bersama kecuali ke
tempat kerja. Aku tergelak besar mendengar cerita nenekku ini. Sepanjang proses
kedewasaanku, kasih sayang sentiasa aku perolehi dengan melimpah-ruah sama ada
daripada kedua ibu bapaku, atuk dan nenek, makcik-makcikku, rakan-rakan serta
sahabat yang akrab denganku iaitu fitriyana dan Azira. Fitriyana dan Azira
merupakan sahabat baikku yang tinggal bersamaku di kolej kediaman yang sama
iaitu Kolej Harun Aminurrashid. Segala suka duka kami kongsi bersama
termasuklah kisah percintaan, masalah pembelajaran, kesempitan wang dan
sebagainya.
Setiap orang punyai cita-cita dan impian. Ketika kita
memasang impian itu di dalam minda, ia bukan hanya setakat angan-angan kosong
tetapi ia adalah keinginan yang ingin dicapai oleh makhluk yang bernama insan.
Aku pasti semenjak kecil, semua orang punya impian. Aku seperti remaja
yang lain memiliki impian untuk
melanjutkan pelajaran ke universiti. Universiti pilihanku ialah Universiti
Pendidikan Sultan Idris atau lebih dikenali dengan singkatan kata UPSI. Aku
memiliki sebab yang tersendiri, mengapa aku ingin menyambung pengajianku di
UPSI. Salah satu sebab aku ingin belajar di UPSI ialah cita-citaku ingin
menjadi seorang guru. Teringat pula kata-kata Ibu Muslimah dalam filem Laskar
Pelangi,
““Cita-cita aku bukan jadi isteri saudagar, Pak. Cita-cita aku jadi
seorang guru. Dan bapak langsung mempercayai bahawa aku bisa menjadi seorang
guru”,
Kata-kata Ibu Muslimah itu kelihatan bersahaja namun semangatnya jelas
menampakkan cita-citanya untuk menjadi seorang guru. Begitu juga dengan aku. Cita-citaku untuk menjadi
seorang guru, telah aku tanam sejak kecil lagi. Teringat ketika waktu kecilku, aku dan sepupu-sepupuku yang
sebaya bermain pondok-pondok. Saat itu aku sering berlakon menjadi guru.
Mengajar sepupuku menulis, membaca dan juga mengira. Pasti di tanganku memegang
buku dan rotan untuk menunjukkan aku seolah-olah seorang guru. Semasa aku
berlakon mengajar pelajar, aku ada merotan mereka secara olok-olok kerana tidak
menulis dengan betul. Itulah perwatakanku sebagai cikgu semasa bermain
pondok-pondok ketika itu. Sangat manis memori itu. Andai masa bisa diundur
kembali, ingin aku merakam suasananya supaya dapat dilihat sepanjang kedewasaan
ini.
“Melanjutkan pelajaran di IPTA bukan senang.
Tambahan lagi dengan kelulusan yang hanya
cukup-cukup makan sahaja”. Terngiang akan kata-kata Mak Ngahku suatu ketika
dahulu. Nadanya seakan-akan memerli aku. Kata Mak Ngahku, keputusan peperiksaan
SPMku sama seperti keputusan pelajar-pelajar yang lain. Ramai pelajar yang
memiliki keputusan seperti itu. Katanya lagi, peluang untuk aku menempatkan
diri di mana-mana universiti amat tipis lebih-lebih lagi aku ini pelajar
perempuan, banyak saingannya. Bagiku keputusan peperiksaanku bukannya teruk
sangat pun, 4 A, 1 B, 4 C dan 1 D. Kiraku semuanya baik. Namun, aku sedikit
terguris dengan kata-kata Mak Ngahku itu. Disebabkan dengan kata-kata Mak
Ngahku itu jugalah, aku memasang tekad untuk belajar bersungguh-sungguh untuk
menjejakkan kaki ke universiti.
Dengan
semangat berkobar-kobar untuk belajar bersungguh-sungguh, aku merancang jadual
pembelajaranku semasa di tingkatan enam dengan teratur dan sebaik mungkin. Hal
ini supaya masa pembelajaranku tidak terbuang begitu sahaja dengan aktiviti
yang lain. Tidak mahu pisang berbuah dua kali dengan memperolehi keputusan
peperiksaan yang biasa-biasa sahaja. Lalu, aku menyusun jadualku dengan
berbantukan bahan bacaan mengenai cara menentukan jadual belajar secara
individu yang betul. Selain itu, kedua ibu bapaku turut membeli buku-buku
rujukan tambahan memandangkan aku tidak mendapat biasiswa.
“Berkobar-kobar
nampaknya anak Maa nak masuk UPSI”.
Masih ku ingat kata-kata ibuku itu, sewaktu
aku bersiap-siap hendak ke sekolah. Semangatku dapat dilihat dengan jelas oleh
ibuku. Hal ini disebabkan aku menggayakan beg sekolah yang memiliki lambang
Universiti Pendidikan Sultan Idris setiap hari ke sekolah. Beg tersebut aku
peroleh daripada seniorku yang belajar di universiti tersebut. Aku memakai beg
tersebut adalah untuk memotivasikan diriku ini supaya sentiasa ingat matlamat
yang ingin aku capai. Semasa aku memakai beg tersebut, ada seorang guru
menegurku pada suatu pagi ketika aku berjalan ke kelasku. “ Wah,cantik beg Aisah!, ada lambang UPSI lagi. Memang nak masuk universiti
ni ke?”.Tanya guru berbaju kurung merah itu. “InsyaAllah cikgu, saya nak sangat belajar kat universiti ni. Cita-cita
saya nak jadi seorang guru, macam cikgu”. Aku menjawab seraya guru itu
tersenyum melihatku. “Belajar
bersungguh-sungguh ye, Aisah. Cikgu doakan semoga awak berjaya masuk ke UPSI”. Berkat
doa guru dan ibu bapaku, akhirnya aku berjaya menempatkan diri di UPSI.
Alangkah gembiranya hatiku, dengan kejayaanku ini. Segala penat lelah yang aku
lalui akhirnya membuahkan hasil. Tidak sia-sia aku belajar siang dan malam
selama ini. Akhirnya, aku dapat membuktikan kepada Mak Ngahku bahawa aku juga
mampu melayakkan diri ke menara gading.
*Sekadar Gambar Hiasan
Gagal? Mistake?
Failure? Khatta’? Kesemua perkataan
itu memberi satu makna yang sama dalam kehidupan kita. Kekecewaan!. Namun, adakah
kekecewaan itu satu tanda berakhirnya dunia? Atau runtuhnya jambatan kejayaan?
Jawapannya tidak sama sekali. Saya pernah
mengharungi detik kecewa kerana kegagalan. Tetapi saya tidak pernah kesal
dengan kegagalan itu. Mengapa? Sebabnya hanya satu iaitu kerana kegagalan itu
memberi perangsang dan suntikan semangat untuk aku menilai diri, memperbaiki
kelemahan dan berusaha sedaya upaya untuk mencapai impianku. Berbalik
dengan sebab aku memilih UPSI sebagai tempat untuk aku menyambung pengajianku,
ianya turut berkisah dengan kisahku suatu ketika dahulu. Selepas mendapat
keputusan SPM, aku ada mengisi borang secara atas talian untuk memasuki maktab
perguruan, memandangkan keputusan SPMku agak cemerlang dan berkelayakan untuk
memohon. Namun, nasib tidak menyebelahi aku. Namaku tidak tersenarai dalam
senarai nama yang berjaya memohon maktab perguruan tersebut. Disebabkan itulah,
aku mengambil keputusan untuk meneruskan pengajianku dalam aliran sains di
tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah 1. Mungkin dengan
meneruskan pengajian di tingkatan enam, aku masih berpeluang untuk memohon
Universiti Pendidikan Sultan Idris. Namun,pengajianku di tingkatan enam sains
itu tidak berpanjangan. Selepas beberapa bulan, aku membuat keputusan untuk
menukar aliran sains kepada aliran sastera. Dalam beberapa bulan aku di sekolah
sains itu, baru aku dapat mengesan bahawa aku tidak mampu mengikuti
pembelajaran subjek-subjek yang ditawarkan. Keputusanku untuk menukar aliran
tidakku putuskan dengan sewenang-wenangnya.
Bagi
memastikan jalan yang terbaik, aku mendapatkan nasihat guru kaunseling di sekolah
itu dan meluahkan masalahku. Seterusnya, aku meminta pendapat tentang jalan
penyelesaian bagi masalah yang aku hadapi ini. Berdasarkan nasihat dan pandangan
guru kaunseling tersebut, aku dinasihatkan supaya berfikir panjang sebelum
membuat keputusan. Hal ini kerana ianya melibatkan perjalanan masa depanku kelak. Setelah berfikir panjang dan
berbincang dengan kedua orang tuaku, aku tekadkan hati membuat keputusan untuk
menukar kepada aliran sastera dan berpindah ke sekolah lain, iaitu Sekolah
Menengah Kebangsaan Batu Gajah. Bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu
Gajah, aku mula menanam semangat untuk berjaya memasuki universiti. Pelbagai
dugaan yang aku lalui semasa bersekolah di sekolah itu. Aku hadapi segala macam
dugaan dengan penuh berdikari.
Memandangkan matlamatku hanya satu, iaitu ingin melangkah ke menara gading iaitu UPSI.
Mungkin daripada 100 impian yang ada, hanya 20 yang
mampu dicapai. Tetapi itu bukanlah penentu untuk menamatkan usaha. Impian dan
usaha ibarat langit dan bumi yang tidak dapat dipisahkan. Pencapaian nilai gred 3.42 dalam
STPM yang aku perolehi sangat mengembirakan aku. Bersyukur ke hadrat Ilahi
dengan segala kurniaannya. Aku percaya setiap Impian dan usaha
adalah milik hamba tetapi natijahnya adalah milik Pencipta.Orang yang percaya kepada Tuhannya tidak
akan pernah kecewa dengan takdir-Nya kerana redha dan tenang itu telah ada
dalam tawakal setelah usaha. Akhirnya, keputusan peperiksaanku ini melayakkan
aku untuk memohon pengajianku dalam peringkat ijazah sarjana muda di UPSI. Ramai teman seperjuanganku tertanya-tanya
sebab aku memilih UPSI sebagai tempat untuk aku melanjutkan pelajaran sedangkan
banyak lagi universiti-universiti yang lebih hebat di luar sana. Aku tersenyum
sendirian bila mengenangkannya. “UPSI pun hebat, apa?”. Aku bermonolog.
Sememangnya UPSI tergolong dalam universiti yang hebat kerana dari sinilah
produk guru yang berkualiti dilahirkan.
UPSI
merupakan sebuah institusi pengajian tinggi awam yang penting dalam lipatan
sejarah pendidikan negara. Malahan, institusi ini berkembang secara bertahap
dari sebuah kolej ke sebuah universiti. Agak menarik apabila meneliti tahap
perkembangan institusi ini, kerana ia meniti satu landasan sejarah yang sama,
mendukung falsafah penubuhan yang sama dan mekar dalam taman yang sama. Secara
kronologi, perkembangan UPSI melalui tiga era, iaitu era SITC (29 November 1922
- 1957), era MPSI (1957 - 1987) dan era IPSI (21 Februari 1987 - April 1997).
Tiga era ini juga memperlihatkan wadah generasi pendidik yang dilahirkan oleh
institusi ini dalam tempoh 75 tahun. Tanggal 1 Mei 1997 bermulalah lembaran
barunya sebagai sebuah universiti, apabila universiti ini diperbadankan di
bawah Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan
Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997 menerusi Warta
Kerajaan P.U (A) 132 & 133 yang bertarikh 24 Februari 1997.
Memandangkan
dalam kalangan cucu-cucu nenek belum ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke
IPTA, aku juga turut bertekad untuk menjadi cucu pertama yang berjaya menyambung
pengajian di IPTA. Akhirnya kini, aku bersyukur kerana aku berjaya juga menjadi
cucu pertama nenek yang memasuki IPTA. Terdapat cucu-cucu nenek yang lain melanjutkan
pelajaran ke universiti, namun univsiti yang mereka ikuti pengajian adalah
universiti swasta. Jadi, “title” cucu
pertama yang melanjutkan pelajaran ke IPTA digondol oleh aku. Saat aku mendapat
perkhabaran tentang kemasukan ke IPTA, aku cepat-cepat memeriksanya di salah
sebuah siber cafe berdekatan dengan rumahku. Ya, Allah. Aku bersyukur sangat apabila
tercatat “Tahniah, Saudari berjaya
mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti
Pendidikan Sultan Idris”. Apa yang aku hajati tercapai juga. Aku hampir
menangis kegembiraan di siber cafe tersebut. Namun, aku kawal perasaaan itu dan
terus pulang untuk memberitahu berita gembira itu kepada kedua ibu bapaku.
Kebetulan nenek ada di rumahku saat itu tersenyum bangga dengan kejayaanku itu.
“Nenek, Along dapat masuk UPSI taw”. Kataku
dengan girangnya sambil aku memeluk nenek seerat- eratnya. Air mataku tumpah
jua detik itu. Dalam nada sebak, nenekku berkata, “Ya cu, nenek tumpang bangga. Belajar rajin-rajin taw bila masuk U
nanti”. “Jangan hampakan harapan Maa dan Abah. Lagipun Along anak sulung, jadi
contoh pada adik- adik kat umah!” Nenek memberi kata-kata perangsang dan nasihat
yang panjang lebar lagi selepas itu. Apa-apa pun aku hanya menadah telinga dan
mendengar segala nasihatnya dengan teliti. “Sayang
nenek”. Hanya ungkapan itu aku tuturkan padanya.
Kini,
kedewasaan melingkari hidup anak sulung pasangan Shaimi dan Asimah ini.
Dahulunya aku ini hanya asyik berkepit dengan kedua-dua orang tuaku. Semua itu
ini, bergantung kepada mereka. Sememangnya sikap terlalu bergatungku kepada
orang tua mengalahkan adik-beradik yang lain. Sekarang, aku sudah mula hidup
berdikari demi merealisasikan impianku untuk menjadi seorang bakal guru. Segala
urusanku dilakukan dengan sendiri tanpa bantuan insan lain. Perasaan rindu
untuk bersua dengan mereka perlu ku pendamkan. Hal ini disebabkan aku telah
melanjutkan pengajianku ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa
Melayu di Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berlokasi di Tanjung Malim, Perak.
Walaupun
berjauhan dengan keluargaku yang berada di
Kelantan, namun aku sentiasa berhubung dengan kerapnya untuk bertanya
khabar dan melepaskan rinduku kepada keluarga. Terutamanya rinduku kepada maa
dan abahku. Kadang-kadang, aku selalu diejek oleh Angah kerana kerap menelefon
orang tuaku. Aku tidak menghiraukan ejekannya, yang penting aku dapat mendengar
suara maa dan abah bagi mengubat rinduku. Setiap di akhir perbualan antara aku
dengan maa dan abahku, aku akan cakap “Maa,
Abah, Long sayang Maa, Abah. I love you!”. Sedemikianlah akan ku tuturkan
di pengakhiran perbualan kami. Hal ini bagi mengekspresikan perasaan kasih dan
sayangku kepada orang yang sangat aku kasihi. Aku berbangga dengan pencapaianku
dalam usia 23 tahun ini. Syukur Alhamdulillah, setiap yang aku rancang
terlaksana dengan jayanya. Rasa bangga
yang ketara dalam diri ini ialah aku sudah berjaya masuk ke Universiti
Pendidikan Sultan Idris. Inilah yang aku idam-idamkan semasa aku berada di tingkatan
enam dahulu. Kebanyakan orang mengatakan bahawa untuk mendapat tempat di
universiti ini sangat rumit disebabkan terlalu banyak persaingan antara pelajar
lepasan STPM yang lain. Macam-macam lagi cerita yang aku dengar. Namun, setiap
kata-kata mahupun cerita yang didengar, aku mengambilnya sebagai cabaran dan
aku memasang tekad untuk merealisasikan impianku itu tatkala aku sedang gigih
berusaha mencapai matlamatku itu.
Di
antara profesion yang mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru.
Kerana guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat.
Dalam masa yang sama, kita juga patut bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana
memasukkan ilmu ke dalam dada kita dengan perantaraan para guru. Ayat 3
hingga 5 surah al-`Alaq sudah cukup terang dan jelas dalam menerangkan bahawa Allah
menciptakan manusia dari benda yang hina kemudian memuliakannya dengan mengajar
membaca, menulis dan memberinya pengetahuan. Tetapi manusia tidak ingat lagi
akan asalnya, kerana itu dia tidak mensyukuri nikmat Allah itu, bahkan dia
bertindak melampaui batas kerana melihat dirinya telah merasa serba cukup. Guru mengajar masyarakat menjadi pandai dan berilmu.Di samping
itu, guru juga bertindak mendidik anak-anak didik menjadi insan yang baik dan
mampu berjasa kepada keluarga dan masyarakatnya.
Sesungguhnya, menanam impian itu ibarat menanam pokok. Penjagaan dan perlindungan perlu
diberikan dari awal mulanya menyemai benih. Jika pokok tidak disiram atau
dibaja dan dibiarkan terdedah kepada ancaman, nescaya ia tidak mampu membesar
dengan sihat. Begitu jugalah dengan impian yang aku ingin miliki, ia perlu
dilengkapi beberapa faktor dan perancangan yang teliti bukannya sekadar bicara
kosong untuk menyedapkan hati atau meniru. Setiap
manusia punya impian. Dan impian itu perlu tidak lari dari tujuan hidup
penciptaan kita sebagai manusia kepada-Nya, Iaitu ber'ubudiyyah' atau
mengabdikan diri kepada Allah. Menyukai apa yang disukai-Nya dan meninggalkan
segala larangan-Nya. Impian yang bermakna adalah impian yang diredhai oleh
Allah. Yang diimpikan bagi mendapatkan hujan rahmat dari-Nya. Impian yang
digantung tinggi bagi mendapatkan kesukaan dan kecintaan-Nya kepada
hamba-hamba-Nya. Itulah impian yang diredha.
“Barangsiapa yang diredhai
oleh Allah, maka, dia akan sentiasa mendapat pertolongan-Nya”.
Itu adalah sesuatu
perkara yang tidak akan diragui lagi. Aku tidak
pernah lekang untuk terus berdoa agar impianku untuk menjadi bakal guru dapat
aku realisasikan.Cikgu Aisah atau pun Cikgu Ecah, itulah yang akan meniti dibibir para pelajarku
kelak. Panggilan keramat yang aku impikan selama ini.
Sekian,wassalam..
0 comments:
Post a Comment